Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

" sesungguhnya Allah berfirman: 'Aku bersama hamba-Ku selagi mana ia mengingati-Ku dan kedua-dua bibirnya bergerak (untuk berzikir)" (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Thursday, December 13

Mimpi itu

ASSALAMUALAIKUM WBT

MAK!! jerit nam sekuat hati apabila melihat ibu bersama seorang lelaki yang amat nam kenali di depan mata. Terus nam menerpa ke arah mereka dan merangkul ibu tercinta. Hanya senyuman yang menghiasi wajah ibu dan ayah tercinta. Tiada langsung kata-kata yang terluah dari mereka. Hingga akhirnya nam tersentak dan tersedar dari igauan mimpi. Nam lihat di sisi kanan dan kiri, kakak dan adik sedang nyenyak di buai mimpi. Rupanya nam hanya bermimpi tadi, memeluk insan yang nam sayangi dan kasihi. 

Hari ini hari ke 26 ibu pergi bertemu Illahi. Masih terbayang saat ibu melafaz kata-kata keramat sebelum menghimbuskan nafas-nafas terakhir. Ibu sempat meneguk air zamzam yang diberikan oleh kakak nam. Ketika saat terakhir itu, semua anak-anak mak berada di sisi. Sambil masing-masing memeluk erat ibu yang masih bernyawa ketika itu. Tidak sampai beberapa minit bertarung dengan kematian, akhirnya ibu telah selamat pergi bertemu Illahi. Abang, kakak, adik-adik seperti tidak percaya ibu sudah pergi. Tangisan terus menemani seisi rumah. Digagahkan berlari ke muka pintu, menanti ibu diangkat menaiki kereta untuk di bawa ke klinik. Ibu baring di ribaan nam, ibu seolah-olah sedang nyenyak tidur. Wajahnya bersih. 

Sambil menunggu doktor memeriksa ibu, kami adik-beradik masing-masing membaca surah yassin untuk ibu. Doktor mengesahkan ibu telah meninggalkan dunia pada pukul 9.50 pagi. Saat itu sekali lagi luruh hati kami. 

Dibawa jasad ibu pulang kerumah kakak menaiki van jenazah. Telah di siapkan sebuah tilam ditengah rumah untuk diletakkan jasad ibu. Jiran tetangga kakak mula memenuhi ruang rumah sambil mengucapkan takziah atas pemergian ibu tercinta. Nam duduk sambil membacakan surah yassin di sisi kepala ibu. Tidak mempedulikan semua orang yang sedang sibuk menyiapkan kain kapan dan tempat mandi ibu. 

Terdengar-dengar di telinga ada jiran-jiran kakak pelik dengan kematian ibu. Ibu sememangnya bukan kelahiran atau penduduk di situ. Kami hanya bertandang ke rumah kakak di Ayer Hitam, Johor. Tetapi di situlah ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dirumah anak yang disayanginya dan dirinduinya selalu.

Selang beberapa minit, jasad ibu kami mandikan. Kami adik-beradik yang mandikan ibu buat kali terakhir. Nam terkenang pagi itu juga nam telah memandikan ibu yang masih bernyawa. Pagi itu ibu tidak larat untuk mandi sendiri dan meminta nam memandikannya. Dan pada pagi yang sama, nam memandikan jasad ibu yang sudah tidak bernyawa. Ya Allah, aku redha atas ujianMu buatku

Kami juga yang mengkapan ibu. Dibalut jasad ibu dengan tiga helai putih sebagai pakaian. Kini kami tinggal sendiri wahai ibu. Tanpa seorang ayah dan seorang ibu. Hanya menagih kasih dari kakak dan abang yang ada. Dibawa jenazah ibu pulang ke rumah kita di Gombak, ibu bakal di kebumikan berhampiran kubur ayah.  Sesampainya kita dari Johor ke Gombak, sudah banyak saudara mara, sahabat handai dan jiran tertangga yang sedia menanti ibu dirumah. Kerna ingin melihat wajah ibu buat kali terakhir. Sesungguhnya ramai orang yang sangat mengasihi dirimu wahai ibu. Buat keseribu atau sejuta kalinya nam ingin katakan pada ibu, nam sangat sayang dan kasih padamu wahai ibu. Pemergianmu pergi bersama separuh cinta nam.  Wahai ibu dan ayah, semoga Allah sentiasa merahmati ruh kedua orang tua yang disayangi. Al-fatihah. 


p/s: di gengam erat cincin terakhir yang ibu pakai. Hampir menitis airmata cinta dan kasih mengenang ibu tercinta..





Sunday, December 2

Aku Rindu

ASSALAMUALAIKUM WBT


Nam melihat setiap isi rumah, gelap seperti tiada cahaya lagi yang menerangi rumah ini. Nam selak satu-persatu kenangan semalam dalam memori yang tersimpan erat dalam kotak ingatan. Terbayang ibu di sekitar rumah, menceriakan suasana yang pernah dulu bahagia. Kini hanya kesedihan yang menemani ruang hati, tiada lagi kegembiraan yang pernah dirasai dahulu. 

Kini sudah 16 hari ibu tercinta pergi menghadap Illahi. Meninggalkan si anak yang dahaga kasih dan manja. Tiada lagi bebelan mesra dan rungutan manja dari ibu tercinta kerna yang tinggal hanya cerita duka. Terasa rindu dengan bebelan dan rungutan ibu tentang kami. Oh ibu di manakan ku cari ganti? 

Semalam kami adik-beradik memunggah almari pakaian ibu, di belai satu persatu pakaian ibu, di cium haruman yang masih bersisa di pakaian ibu. Kenangan terus membelai hati, terbayang saat ibu mengenakan semua pakaian itu. Terselit beberapa helai pakaian ayah dulu. Mungkin pakaian ayah itu menjadi pengubat di kala rindu. 

Wahai ibu, 12 tahun ibu mengumpul kekuatan untuk mendewasakan kami setelah ayah pergi dahulu menghadap Illahi. 12 tahun tiada rungutan dan kesesalan yang terpancar dari wajah mu terhadap kami. Hanya kasih sayang darimu yang kami terima saban hari. Oh ibu, terima kasih atas jasamu.


Ibu kini kami hanya sendiri, tetapi ketahuilah Allah SWT sentiasa ada di sisi. Menemani setiap perjalanan kehidupan kami. Ibu, akan kami teruskan perjalanan kami, sehingga kami kembali ke kampung abadi. 

Ibu dan Ayah semoga Allah SWT mengasihi dirimu seperti mana Ibu dan Ayah pernah mengasihi kami, dan semoga Allah SWT tempatkan ibu dan ayah di kalangan orang yang dicintaiNya di sisiNya. Ameen Ya Allah.



Thursday, November 22

DIA TINGGALKAN AKU

ASSALAMUALAIKUM WBT


Selawat dan Salam buat Junjungan Mulia Muhammad Ya Rasulullah, Para Kekasih Allah SWT dan Muslimin Muslimat yang Allah SWT muliakan dengan iman dan ihsan.

...................................................................

Dari Allah SWT kita datang kepada Allah SWT juga kita kembali.

Bintang Malam sudah kelam,
kerna sinarnya tidak terang,
Kenangan semalam masih terbayang,
Melihat kamu tersenyum riang.

Pergimu tidak kembali,
Hilangmu tiada pengganti,
untuk menemani di kemudian hari,
untuk pelayaran yang tidak pasti.
.................................................................................................
Sudah 5 hari Dia pergi meninggalkan nam. Meninggalkan nam dengan seribu angan-angan dan pengharapan untuk kekal bersama hingga ke syurga. Namun apakah daya takdir sudah menimpa, mana mungkin dapat nam ubah semuanya.

Tarikh 18 November 2012 akan sentiasa terpahat dalam ingatan nam. InsyaAllah. Pada tarikh inilah Dia telah pergi menuju Illahi, meninggalkan nam seorang diri dan tidak mungkin ada pengganti sepertinya di dunia ini.

Dia telah dilahirkan pada 2 September 1954, pada tahun ini genaplah usianya 58 tahun. Setelah ayah pergi meninggalkan kami pada tahun 2000, Dialah Ibu dan Ayah untuk kami. Namun kini Dia pula yang pergi menuju Illahi, meninggalkan kami sendiri kembali.
...............................................................

Sudah 4 hari nam bercuti di rumah, tiada mood dan semangat untuk pergi bekerja. Rasa kesunyian sedang menghuni hati kerna menjadi kebiasaan nam habiskan banyak masa bersama ibu tercinta.

Sekarang rumah terasa sunyi tanpa suara ibu tercinta, hilangnya jasad bersama suara. Kesunyian sedang menghimpit kami semua, kerna telah hilang penyeri di rumah. Kini kami semua telah bergelar si yatim piatu. Tiada ayah tiada ibu. Hanya Allah SWT pelindung kami. InsyaAllah.

............................................................................

p/s: pengumuman kepada semua. Ibu saya telah kembali ke hadrat Illahi pada hari ahad 18 November 2012 pada jam 9.50 pagi di rumah. 

p/s: Semoga Allah SWT menempatkan ibu saya di kalangan orang yang beriman dan dicintai di sisi Nya.















Wednesday, November 7

Kriteria Suami dan Isteri

ASSALAMUALAIKUM WBT

Lama rasanya tidak mencalitkan tinta di blog kesayangan. Almaklumlah sudah berniat ingin menyepikan diri dari dunia blogger dan dunia laman sosial yang lain. Namun terlintas di fikiran ingin menulis beberapa entry berkaitan perbualan hangat di antara sahabat-sahabat. Tertarik sekali mengenai hal ini hingga nam mencuri masa yang terluang untuk mencalitkan beberapa buah fikiran..

Perbualan hangat sejak akhir-akhir ini yang nam dengar dari sahabat adalah kriteria bakal suami dan bakal isteri. Pelbagai pendapat dan kriteria yang nam kumpulkan tentang calon-calon suami dan isteri pilihan sahabat-sahabat. Ada di antaranya yang ingin bakal suami yang alim, soleh, taat ibubapa, imam, pandai mengaji Al-Quran dan macam-macam lagi. Ada pula kaum adam yang ingin bakal isterinya alimah, hafizah, pandai masak, taat, padai melayan suami. MasyaAllah, tidak dapat nam tulis semua di sini kerna terlalu banyak kriteria yang di ingini.

Nam tertanya-tanya dengan diri sendiri, apakah kriteria ini penting dalam membina mahligai indah hingga ke syurga? Nam terus menyoal diri sendiri lagi dan lagi, sahabat-sahabat mempunyai kriteria pilihan bakal suami dan isteri masing-masing tetapi nam tidak terfikir mengenai kriteria-kriteria suami idaman. Betulkah nam tidak pernah terpikir tentangnya?? (keliru dengan perasaan sendiri)

Atas landasan apa semua kriteria ini di pilih?
Kenapa kriteria ini yang menjadi pilihan?
Layakkah diri mendampingi dan memiliki pilihan yang begitu?
Tepuk dada tanya iman.

Mungkin terkesan dengan isu-isu ini nam menukilkan luahan perasaan yang membeku dalam hati ini. Pada pendapat nam yang hina lagi tidak berilmu ini, pemilihan seorang suami dan isteri kerna agamanya. Jika  memiliki isteri atau suami yang diingini itu mungkin satu kelebihan dari Allah SWT buat kita. Semua perkara bermulanya dengan iman, perbaiki iman kita lagi dan lagi sampai kita dah tiada lagi. Kita tidak sepatutnya sibuk memilih sebaliknya menanti untuk di pilih. Jodoh ini sejak azali lagi Allah SWT telah tetapkan buat kita hambaNya. Jadi buat apa kita memeningkan kepala untuk rungsing tentang perihal jodoh sedangkan jodoh kita sudah tersurat di Luh Mahfuz? 

Kita sibuk dengan kriteria-kriteria pemilihan isteri dan suami, tetapi iman dan amal tidak meningkat seiring dengan keinginan dan kehendak kita. Bolehkah begitu? Tepuk dada tanya iman. 

Tawajjuh dan tawakal lah kita dalam pemilihan isteri dan suami ini. Bukan bermakna kita tidak payah berusaha untuk mencari pasangan hidup kita. Percayalah suatu saat bila sampai masanya jodoh anda yang telah di tetapkan oleh Allah SWT akan datang kepada anda tanpa di duga. :D

Terkesan nam dengan kata-kata seorang sahabat nam semasa sesi "pembentangan" kriteria suami dan isteri masing-masing. 

"Pemilihan isteri ini mudah sangat, tidak perlu yang cantik, tidak perlu hafizah, tidak perlu alimah, tetapi yang paling penting sekali ada sifat TAAT kerna andai jika si isteri alimah tapi tidak taat tiada gunanya, andai punya isteri hafizah andai tidak taat tiada faedahnya kerna ingin belajar dan menjadi TAAT itu susah" 


Bagaimana dengan kaum hawa pula? Apa pendapat kalian? :D


p/s: ingin menekan perasaan dari menulis di blog tetapi akhirnya tewas juga.. astagfirullah.. lemahnya iman.. (T_T)