Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

" sesungguhnya Allah berfirman: 'Aku bersama hamba-Ku selagi mana ia mengingati-Ku dan kedua-dua bibirnya bergerak (untuk berzikir)" (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Friday, August 26

Hiba Hatiku

ASSALAMUALAIKUM WBT


Ibu.
Hari ini menyinar bahagia,
Namun mengapa tangisan ada di matamu wahai ibu?
Mengapa Ibu menangis menceritakan kisah lalu hidupku?
Sesungguhnya tidak ku tahu apa di lubuk hatimu wahai kekasihku.


Ibu.
Jangan bimbang akan diriku,
Mungkin aku kelihatan lemah di matamu,
Namun ada kekuatan yang di hadiah Allah buat diriku,


Ibu,
Ku mohon jangan tangisi masa silamku,
Mungkin dulu aku kerap mengalirkan airmata mengenang kekasih hatimu,
Namun sekarang aku telah terima semuanya dengan hati yang tenang wahai sayangku.


Ibu,
Anakmu kini telah dewasa,
Tetapi anakmu ini masih kerap menangis bila hatinya terusik mengenang kenangan semalam,
Kenangan yang penuh cinta dan kasih sayang dari buah hati mu tercinta.


Ibu,
Tangisan mu menjadikan hiba terasa di hatiku,
Jangan begitu wahai ibu,
Ku tidak bisa melihat dirimu begitu.


Ibu,
Ku harap satu darimu,
Ku mohon jangan tangiskan masa silam ku,
kerna masa silamku adalah tanda kasih sayang ku buat dirimu.


Ibu,
tiada apa yang dapatku berikan untuk meredakan tangisanmu,
hanya ucapan bahawa aku telah terima semua masa silam hidupku,
semua itu adalah rancangan Allah yang terbaik buatku wahai ibu.


Ibu,
ku bahagia kerna Allah menghadiahkan ibu menjadi mahkota hidup ku,
kerna dirimu tabah dan sabar melayani kami,
walaupun tiada tonggak semangat di belakangmu.


Ibu,
Ku hanya mampu menghadiahkan doa untuk dirimu,
Supaya Allah SWT memberkati dan memberikan rahmat seumur hidupmu,
Ibu ketahuilah aku sangat bangga punya ibu dan penyokong yang kuat sepertimu,
Aku sayang kamu wahai kekasih dan buah hatiku.




p/s: hati tiba-tiba menjadi hiba melihat tangisan ibu secara tiba-tiba lantaran menceritakan masa silam ku bersama ayahku. Mungkin aku kerap menangis dahulu kerna tidak menerima kenyataan itu. Tetapi sekarang aku lebih tabah berbanding dahulu. Kerna ada Allah sebagai tempat mengadu, Kerna ada Allah yang sering menemaniku, dan Kerna ada Allah sentiasa menjadi pemberi semangat dalam hidupku.Terima kasih Allah! LOVE ALLAH! :>





Thursday, August 25

Pemergian Puasa Di Tangis hiba, Menyambut Syawal Penuh Bahagia

ASSALAMUALAIKUM WBT



Pemergiaan Ramadhan di Tangis Hiba, Kedatangan Syawal di Sambut Gembira.


Alhamdulillah masih di berikan peluang bernafas oleh Allah SWT di bulan yang penuh berkah ini. Hari ini dah masuk hari ke-25 umat islam berpuasa. Sungguh cepat masa berlalu dan akhirnya ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Semoga kita menikmati nikmat ramadhan yang Allah SWT berikan dengan sebaiknya dan semoga kita tidak membazirkan rahmat yang banyak di berikan di bulan mulia ini. InsyaAllah.


Aidilfitri akan tiba selang beberapa hari lagi. Suasana di bandar semakin sunyi saban waktu mungkin kerna sudah ramai warga kota yang sudah pulang ke kampung. Di sana sini pusat membeli belah seperti pasar-pasar, di bazaar TAR, di shopping complex semakin di penuhi dengan orang ramai yang bersesak-sesak ingin menyiapkan persiapan raya. Wah. Meriahnya persiapan raya. (n_n)


Walaupun sibuk menyiapkan persiapan raya di sana-sini, pernahkah kita terpikir bahawa mesej yang disampaikan Allah SWT melalui ibadah puasa ini sampai atau tidak kepada kita? Atau kita hanya menghadapi "sekolah" atau "madrasah" puasa ini dengan tiada suatu pun kesan di hati dan jiwa kita?


Ramadhan selalu di kaitkan dengan "madrasah" untuk mendidik jiwa umat islam supaya disiplin. Ia mendidik peribadi mulia dan amanah. Kerna itulah bulan ramadhan ini dikatakan "sekolah" untuk mendidik jiwa-jiwa umat islam yang kadang-kadang lemah dan terlalu mengikutkan nafsu. Jika kita hanya mengganggap puasa hanya menahan lapar dan dahaga, maka alangkah ruginya kita kerna jiwa kita langsung tidak terdidik sepanjang bulan yang penuh rahmat ini. 


Ramadhan juga di katakan bulan penghapus dosa kerna di bulan ini semua rahmat dan pengampunan Allah SWT sangat luas buat hamba-hambaNya. Namun jika " madrasah ramadhan" tidak kita jalani dengan sebaiknya maka kita akan kembali kepada perkara mungkar dan terus terjebak kepada dosa semula serta meminggirkan ibadah kepada Allah SWT. Kita akan kembali kepada sikap negatif kita seperti pengfitnah, penipu, mengadu domba, memakan rezeki tidak halal dan pelbagai sifat negatif lain. Astagfirullah. Tetapi seandainya "madrasah ramadhan" ini di jalani dengan sebaiknya, maka insyaAllah sikap negatif yang pernah kita lakukan dahulu akan terhakis dari diri kita dan kita menjadi insan yang baru menjelang aidilfitri. InsyaAllah.


Puasa juga di kaitkan dengan bulan ibadat kepada Allah SWT. Ini kerna setiap ibadat yang kita buat di bulan ramadhan ini akan di gandakan pahalanya oleh Allah. SubhanaAllah, alangkah beruntungnya kita sebagai umat islam. Seperti yang kita tahu ibadat seperti tarawikh, bertadarus Al-Quran dan juga sedekah akan di kaitkan dengan bulan ramadhan ini. InsyaAllah jika istiqamah beribadat sepanjang bulan ramadhan ini, maka kita dapat teruskan di bulan seterusnya. InsyaAllah.


Hampir sebulan menjalani "madrasah ramadhan", sekarang tiba giliran syawal menjelang. Sebulan di bulan ibadah, namun jika kita sia-siakannya alangkah ruginya kerna pengajaran dari bulan ramadhan itu sendiri tidak sampai di hati dan jiwa kita. Serta rahmat yang Allah bentangkan tidak kita pedulikan dan sesungguhnya kita manusia yang rugi kerna tidak menarik "hadiah" istimewa yang Allah berikan sempena bulan mulia. 


Selang beberapa detik maka ramadhan akan sampai ke hujungnya dan jika berpeluang kita dapat merasainya kembali tahun hadapan. insyaAllah. Aidilfitri akan membuka tirainya 4 atau 5 hari lagi, sana sini kegirangan dan kegembiraan di semat di dalam hati setiap umat islam. Bunyi mercun dan bunga api semakin kuat di setiap pelusuk. Hingga kadang-kadang terganggu imam dan makmum solat tarawikh di masjid atau surau. 


Apabila tiba hari raya, insan yang paling gembira adalah kanak-kanak dan persiapan merekalah yang akan di buat dahulu berbanding orang dewasa. Dan ada juga yang bersedih lantaran kehilangan insan tersayang seperti ayah, ibu, suami, isteri atau anak-anak. Maka aidilfitri akan di sambut dengan sedikit hiba dan tangisan di pagi hari raya namun ia masih di raikan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Pagi hari 1 syawal, majoriti kaum muslimin dan muslimat selepas bersolat hari raya di masjid, mereka akan berziarah di kubur sebagai tanda ingatan dan sekalung doa di titpkan kepada ahli keluarga yang telah awal di jemput oleh Illahi. Begitulah sedihnya hari pertama berhari raya bagi sesiapa yang pernah kehilangan seseorang yang mereka sayangi. 


Aidilfitri sinonim dengan hari kemenangan bagi umat islam bagi yang berjaya hadapi "madrasah ramadhan" dengan jayanya dan berjaya membuat perubahan pada diri. Hari kemenangan ini haruslah di kongsi dengan saudara seislam yang kurang bernasib baik di samping mengiratkan silaturahim di antara sesama muslim. Bantulah seikhlas hati dan mengikut kemampuan diri kerna setiap bantuan akan meringankan beban insan yang anda bantu. InsyaAllah.


Akhir kata, berhari rayalah sesederhana mungkin dan cuba elakkan dari pembaziran dan pemborosan yang melampau hingga menjejaskan kewangan selepas musim raya nanti. Namun dalam kesederhanaan itu kita harus bersyukur atas nikmat bulan mulia yang Allah SWT berikan pada kita. 

p/s: ini mungkin entry terakhir sebelum aidilfitri. Jadi mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin. Harap sudi maafkan segala ketelanjuran, kesilapan dan kekhilafan semasa menulis di blog ini dan mungkin atas bahasa-bahasa yang tidak sesuai hingga menguris pihak-pihak tertentu. Semoga Aidilfitri di sambut dengan gembira dan semoga di rahmati oleh Allah SWT selalu. AMEEN..

Monday, August 22

Universiti Kehidupan

ASSALAMUALAIKUM WBT


Sudah 22 tahun hamba hidup kat dunia ini. Pelbagai perkara dan pengalaman yang di ceduk di sana sini. Ada yang baik dan ada yang kurang menyenangkan hati namun semuanya datang dari Illahi. Tiada yang di takdirkan sia-sia oleh Allah SWT. Begitulah peraturan kehidupan yang telah Allah SWT tetapkan buat kita hamba-hambaNya. 


Terkenangkan saat mulakan langkah sebagai anak yatim suatu ketika dulu, langkah agak sukar lantaran tiada penguat semangat di belakang namun langkah harus diteruskan kerna masih ada ibu di sisi sebagai pemberi sokongan supaya jangan terus jatuh menghempap di lantai. Mungkin perjalanan pada awalnya agak hambar lantaran semangat dan sumber kekuatan telah terkubur bersama jasad ketua keluarga namun Allah SWT meniupkan sesuatu ke dalam hati dan menghadiahkan kekuatan di saat diri dan keluarga hilang tempat bergantung seketika. Allah SWT lah tempat mengadu dan meminta pertolongan.


Sesungguhnya menjadi yatim itu sukar namun atas kekuatan yang Allah SWT hadiahkan maka kami dapat hadapinya dengan mudah. Alhamdulillah. Terkenang kembali saat menghantar ayah ke perkuburan dan semasa itu juga deraian air mata tidak berhenti mengalir di pipi, seisi keluarga seperti patah sayapnya dan adik kecil yang masih belum mengerti apa-apa hanya menanti ayah pulang untuk terus tinggal bersama-sama. Namun semuanya telah di terima oleh hati dengan redha dan pasrah kerna sesungguhnya Allah SWT merancangkan yang terbaik buat hamba-hambaNya.


Kini sudah 11 tahun pemimpin keluarga hamba pergi dan pelbagai pekerjaan pernah hamba lakukan sepanjang 11 tahun ini. Hamba penah mengambil upah menjaga kedai makanan, mengambil upah membuat kueh raya di bulan ramadhan dan hamba penah meniaga air di bazaar ramadhan. Sangat menarik kehidupan hamba kerna pelbagai pengalaman yang hamba dapat ambil. Allah SWT memberikan hamba pengetahuan dan merasai kehidupan yang serba mencabar ini dengan semangat yang kuat di hati. 


Hamba terkenang di saat hamba terpaksa bersusah payah di bulan ramadhan untuk meniaga air lantaran ingin mencari duit lebih untuk menyambut aidilfitri. Semasa itu hanya kami peniaga yang termuda, dan ramai yang menghulurkan bantuan terhadap kami. Seronok ketika itu walaupun pada hakikatnya saat itu sangat sukar di lalui. Terasa berkejar-kejar dengan masa pada saat itu kerna terpaksa bergegas pulang ke rumah apabila habis waktu sekolah dan menyiapkan barangan untuk meniaga menjelang pukul 3 petang. Sesudah habis meniaga bergegas untuk balik ke rumah dan bersiap untuk terus ke masjid bagi solat tarawikh. Malam di habiskan dengan berehat dan mengecas tenaga bagi menghadapi hari seterusnya. 


Kini 2011, tiada lagi bazaar ramadhan untuk hamba mencari rezeki, tiada lagi warung untuk hamba meniaga, tiada lagi tempat untuk hamba mengambil upah membuat kueh raya. Kini hamba hanya bekerja makan gaji di syarikat swasta dan menghabiskan sisa-sisa masa seharian di sini. Kenangan-kenangan silam terus bermain dalam kotak hati dan fikiran dan di tayangkan supaya hamba terus sedar bahawa hamba hanyalah manusia biasa yang tidak punya apa-apa di dunia, dan hamba harus bekerja untuk memperolehi rezeki dari Allah SWT dan terus taat dan sabar menghadapi masa muka yang hamba kurang pasti bagaimana ceritanya. Mungkin suatu saat hamba harus mengulanginya semula dan mencorakkannya supaya menjadi lebih baik dari dahulu. Sesungguhnya hanya Allah SWT mengetahui tentang masa depan hamba. Dan hamba perlukan semangat dan kekuatan dari Allah SWT untuk meneruskan langkah supaya hamba tidak terjatuh dan patah semangat.




p/s: tibe-tibe rasa kenangan semalam banyak mengajar hamba sesuatu dan hamba menjadi hamba sekarang lantaran pengajaran kehidupan yang Allah SWT berikan pada hamba. Terima kasih kepada Allah SWT kerna menghadiahkan pengalaman yang baik buat hamba. LOVE ALLAH! (n_n)





Friday, August 19

Dengan Mengingati Allah Hati Menjadi Tenang

ASSALAMUALAIKUM WBT



Diam tidak diam, sudah hampir fasa terakhir bulan ramadhan, saat ini semua mengejar untuk menanti malam lailatur qadar.  Semakin cepat masa berlalu, semakin terasa kesal kerna bulan ramadhan yang mulia ini tidak hamba manfaatkan dengan sebaiknya. Hamba seperti membiarkan bulan yang mulia dan penuh rahmat itu pergi tanpa sempat mengutip kebaikan darinya. astagfirullah. Terasa rugi dan fikiran melayang memikirkan ini mungkin ramadhan terakhir hamba namun hamba masih leka dengan kehidupan dunia yang sementara. Bertapa ruginya hamba.. isk3..




Minggu yang memeningkan menyebabkan hamba kurang fokus dan tidak semangat untuk melakukan kerja hamba. Serabut, keliru dan tekanan yang hamba alami sepanjang minggu ini amat memenatkan jiwa dan memeningkan kepala. Hamba terasa seperti ingin pergi bercuti dan berehat seketika daripada melayani semua pekerjaan dan semua yang memeningkan kepala hamba. Hamba jarang merasa tekanan, serabut dan keliru yang teruk seperti ini. Bila terasa tekanan dan serabut menyebabkan semua pekerjaan yang hamba lakukan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. 


Di saat hamba mengalami tekanan yang kuat sepanjang minggu ini, hamba merasa patah semangat dan terasa ingin menangis namun hamba kuatkan hati dan cuba menghadapinya. Syukur kepada Allah kerna menghadiahkan semangat dan kekuatan di saat hamba hampir jatuh. Terima kasih Allah.! 


DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI MENJADI TENANG!


Benar! Hilang segala gusar dan gelisah di jiwa lantaran mengadu pada Yang Esa. Dan rasa tenang di jiwa dan aman di hati apabila meluahkan semua yang terbuku di hati kepada Pemilik Mutlak Hati ini. Di saat rasa kehilangan semangat dan kekuatan, tiba-tiba datang suatu semangat yang menyerpa ruang hati dan rasa bebanan yang berat tadi telah hilang. Itulah kebenaran kalimah "Dengan mengingati Allah hati menjadi tenang" kerna Allah lah pemilik hati dan kehidupan kita, Allah lah pemegang hati dan jiwa kita jadi Allah lah mempunyai kuasa untuk memberi bebanan dan memberi kelapangan terhadap kesesakan kita. 


Namun,syukur Alhamdulillah, minggu yang sibuk akan berakhir hari ini kerna sabtu dan ahad ini hamba akan bercuti. Bolehlah hamba fokus pada aktiviti kesukaan hamba iaitu memasak dan membuat kueh raya. (n_n).


Ini antara kueh raya yang ingin hamba buat..insyaAllah..(kalau semangat boleh buat banyak2.. heheh..). Tiba-tiba cerita sal kueh raya sedangkan tadi cerita sal "Mengingati Allah".. isk3..





p/s: kalau di berikan kesempatan waktu dapatlah hamba buat kueh ini. insyaAllah.. semoga allah mudahkan.. ameen.. selamat berpuasa dan selamat berbuka puasa.. (n_n)., selamat mencari malam lailatur qadar..

Tuesday, August 16

Pertemuan penuh ingatan dan amanat


Syukur Alhamdulillah, kejadian yang baru hamba alami tadi menjadikan hamba menghargai sisa-sisa usia yang masih ada ini. Syukur Allah SWT masih menghadiahkan nikmat kehidupan kepada hamba. Jika bukan kerna ehsan dari Allah SWT mungkin hamba sudah tiada di dunia ini. Terima kasih Ya Allah!

Ibubapa itulah hadiah yang terbesar Allah SWT berikan kepada kita. Ibubapa adalah pinjaman sementara yang Allah SWT berikan kepada kita. Ia akan pulang bertemu Yang Esa suatu masa nanti. Dan mungkin kita dahulu yang akan di jemput pulang bertemu kekasih kita yang satu itu. Mungkin sudah seringkali kita baca mengenai pengorbanan ibubapa kepada anak-anaknya dan pengorbanan anak-anaknya untuk membalas jasa ibubapanya apabila sudah dewasa. Namun segelintir dari kita kurang sedar dan tidak menghargai kehadiran ibubapa dalam hidup mereka. Mereka menganggap remeh tentang jasa dan pengorbanan yang telah ibubapa curahkan kepada mereka. Tidakkah mereka bersyukur dan tidak mengenang budi?  

...............................................................................................................
Sabtu bersamaan 13 ramadhan 1432h, hamba berkesempatan untuk menemani seorang teman yang ingin membeli tudung dan pakaian muslimah di kedai yang selalu hamba kunjungi. insyaAllah. Semasa menunggu sahabat hamba di perhentian bas, Allah telah mentakdirkan hamba untuk bertemu dan berbual dengan seorang pakcik berbangsa india. Hamba memanggilnya "uncle" memandangkan dia pada awal-awal lagi membahasakan dirinya "uncle". Berlakulah perbualan yang berbekas di hati hamba ini.


Uncle penghidap sakit jantung berlubang dan penah membuat pembedahan pada tahun 1987 di usia 33 tahun. Uncle mempunyai seorang isteri dan 5 orang anak. 2 dari anaknya telah pergi terlebih dahulu akibat sakit jantung berlubang pada usia setahun dan 8 bulan. Kehidupan yang susah menyebabkan uncle melakukan pelbagai perkerjaan untuk menampung perbelanjaan besar untuk merawat penyakit jantungnya. Wang pencen yang diterima setiap bulan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan perubatan yang tinggi dan hutang yang banyak. Anak-anak uncle yang masih hidup semuanya sudah berumah tangga dan pergi meninggalkan uncle. Tiada sumbangan dan tiada langsung bantuan yang diterima dari anak-anak untuk meringankan beban yang ditanggung oleh uncle dan isteri. Anak-anak langsung tidak mempedulikan kesusahan dan tidak membantu dalam menampung kos rawatan jantung yang mahal setiap bulan.Teringat hamba uncle ada berkata "Uncle rasa seperti tidak punya anak". Hampir menitik airmata hamba mendengar ucapan uncle itu. Namun cuba menahan kerna tidak mahu menambah kesedihan di hati uncle. Mungkin dalam hatinya dia kecewa dengan sikap anak-anaknya.


Hamba hanya melihat wajah uncle dan mendengar cerita yang uncle ingin kongsi dengan hamba. Tersentuh hati hamba mendengar kisah yang uncle kongsi dengan hamba. Terasa berat bebanan yang di tanggung oleh uncle namun uncle masih bisa senyum dan ketawa. 



Sempat uncle bertanya kepada hamba. " U dah kawen?". Hamba tersenyum dan menjawap: "Belum uncle". Seusai hamba menjawap uncle terus berpesan kepada hamba: " U kalau nak cari suami, cari suami yang hormat sama u punya ma and pa. Kawen dengan orang yang boleh bantu jaga ibubapa u. Cari suami yang boleh bantu hantar ibubapa u pergi hospital klu parents u sakit. U pun harus hormat sama suami punya ma n pa supaya hidup u bahagia. Uncle tgk u ni budak baik, hormat orang tua, u mesti dapat suami yang baik. U kena rajin doa sama u punya Tuhan, Tuhan u pasti bantu u. Uncle pun doa sama Tuhan uncle setiap pagi. U pun kena doa banyak-banyak supaya dapat jodoh orang baik-baik" uncle terus berkata-kata sambil tersenyum mesra kepada hamba. Tergetus di hati saat itu, " saya budak baik ker uncle?" "Calon suami pun belum ada uncle". Hamba tersenyum-senyum apabila uncle memberi nasihat. Syukur kepada Allah SWT kerna menghantar seorang insan untuk menasihati hamba yang sering alpa dan lupa ini.


Selang beberapa ketika bas yang di nanti oleh uncle pun tiba. Uncle beransur dari situ sambil melambaikan tangan dan menghadiahkan senyuman padaku. Hamba terus berpesan kepada uncle, supaya uncle jaga diri dan hati-hati. 


Setelah uncle pergi kepala hamba ligat berfikir tentang uncle tadi. Sungguh tertekan dan susah hidupnya namun dia masih tabah berdiri dan percaya bahawa Tuhan penentu segala-galanya.Tiada kedukaan dan kesedihan yang dipamerkan di wajahnya sedangkan didalam hatinya sedang mengalami kedukaan yang kuat amat. Terdetik di hati hamba, seorang ibu dan bapa boleh menjaga sepuluh orang anaknya namun seorang anak sukar untuk menjaga seorang ibubapa mereka. Astagfirullah. 
..........................................................................................
Tidak kah mereka berfikir tanpa ibubapa sebagai perantara untuk mereka hidup di dunia maka mereka tidak pernah kenal dan sempat menjejak kaki di dunia ini? Tidak kah mereka berhutang budi dan ingin membalas jasa?Jika kita sebagai anak tidak berbakti pada siapa lagi ibubapa dapat sandarkan dan menumpang hidup? Bukannya ibubapa minta duit untuk mengaburi mata mereka sebaliknya berbaktilah seketika selagi mana mereka masih hidup di dunia. 


Seorang anak itu walaupun setelah berkahwin masih mempunyai tanggungjawb terhadap ibubapa mereka. Jangan kerna alasan berkahwin anak-anak terus membuang ibubapa mereka dari hidup mereka dan hanya menumpukan perhatian kepada keluarga mertua sahaja. Ibubapa di usia yang semakin senja memerlukan perhatian anak-anak mereka untuk meneruskan sisa hidup yang ada. Seperti uncle tadi rawatan perubatan bulanan dan perbelanjaan harian langsung tidak diambil kisah oleh anak-anaknya. Sampai bila dia mampu bekerja? Hamba menjadi terfikir mengenai hal ini. Dan perkara yang mampu lakukan hanyalah mendoakan uncle. Semoga Allah melimpahkan kesabaran dan ketabahan kepada uncle itu untuk meneruskan hidup. ameen. 




p/s: jalan cerita agak kelam-kabut lantaran hamba memang kurang mahir bercerita. Harap memahami maksud cerita yang hamba sampaikan di atas. semoga sama-sama kita mengasihi ibubapa kita dan juga bakal ibubapa mertua kita. ameen..



Friday, August 12

Munajat Cintaku




Ya Allah...
Pasrahkanlah aku dengan takdirMu
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik buatku
Karena Engkau Maha Mengetahui
yang terbaik buat hambaMu ini
Kutitiskan air mata
Taubat segala dosa
Moga terangkat penghijab kalbu
Antara kau dan aku
Ya Allah...
Cukuplah Engkau saja yang menjadi pemeliharaku
Di dunia dan di akhirat .. 
Aamiin ..
Ya.. Rabb..
Ya Allah ya Tuhanku
Kusujud pada kudrat-Mu
Kuserahkan jiwa ragaku
Pada takdir iradat-Mu

Ya Rabb..
Lantunan rinduku tuangkan dalam sajadah cinta-Mu
Bersaksi cinta dengan butiran tasbihku..
Sunyi malam ku bersujud penuh doa..
Tangisku mengukir di atas sajadah-Mu..
Sebut nama-Mu atas saksi cinta..
Tunjukkan ku jalan untuk menuju rahmatMu

Aamiin ya Rabb..
Pimpinlah daku dalam redha-Mu
Kasihi daku dalam rahmat-Mu
Hanya pada-Mu aku mengadu
Ya Allah ya Tuhanku

Ya Allah…..
dimana lagikah dapat kutemui 
Cinta Sejati kecuali pada cinta-Mu, 
kemana lagikah hati ini harus berlabuh 
kecuali pada kasih-Mu, 
jadikanlah hati yang lemah ini 
hanya tertambat kukuh hanya pada-Mu.
Tuhanku..
alangkah besar.. 
lunakMu terhadap diriku..
padahal sangat dunguku..

dan alangkah besarnya RahmatMu.. 
pada diriku..
disamping sangat buruk perbuatanku.

Tuhanku..
alangkah dekatMu daripadaku..
dan alangkah jauhku daripadaMu.
Tuhanku...
inilah kehinaan nyata..
di hadapanMu..
dan inilah keadaanku..
tidak tersembunyi daripadaMu
DaripadaMu aku mohon..
supaya dapat sampai kepadaMu..
Dan dengan Engkau..
aku mencari Hidayat..
dengan Nur cahayaMu
untuk sampai kepadaMu..
dan tegakkanlah aku dalam kesungguhan..
pengabdianku di hadapanMu..


"Ya Allah, Zat yang paling diingati, paling unggul dalam keagungan dan kemuliaan. Ya Allah, Yang Maha Penyayang kepada setiap peminta kasih sayang, Yang Maha Penolong kepada semua yang teraniaya. Ya Allah, Yang Maha Pengasih kepada setiap yang dirundung malang, yang mengadukan kesusahan dan kesedihannya kepada-Nya. Ya Allah Yang Terbaik untuk dipinta kebaikan-Nya, yang paling cepat pemberian-Nya. Ya Allah, Yang Paling Ditakuti oleh para malaikat yang bersinar daripada cahaya dari-Nya. Hamba memohon kepada-Mu dan makhluk di sekitar 'Arasy-Mu yang bertasbih dengan penuh ketundukan kerana takut akan siksa-Mu dan dengan semua nama yang diguna pakai berdoa oleh Jibra'il, Mika'il dan 'Izra'il agar kiranya dengan Engkau mengabulkan permohonanku, melenyapkan kesulitanku dan menutupi semua dosaku, Ya Tuhanku."

p/s: sedih dan syahdu sedang menyelubungi hati ini. Entah apa yang melanda di hati ini. 
Rasa keliru kuat terasa tetapi tiada apa yang patut di kelirukan. 
Otak kuat berfikir namun tiada apa yang hendak di fikirkan.
Rasa kecewa pada sesuatu namun tidak tahu apa yang patut dikecewakan.
Lemahnya saat ini.. semoga Allah berikan sedikit kekuatan kepadaku untuk terus melangkah. ameen.

Thursday, August 11

BAGAIMANAKAH YANG DIKATAKAN PEREMPUAN SOLEHAH?

ASSALAMUALAIKUM WBT


Seorang gadis kecil berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, aku ingin sekali menjadi perempuan solehah. Bagaimanakah perihal perempuan solehah itu?”

Si ayah pun menjawab: “Wahai anakku, seorang perempuan solehah itu bukan dilihat daripada kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanya memainkan satu peranan yang teramat kecil. Akan tetapi, perempuan solehah dilihat daripada kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi di dalam dada. Itulah perempuan yang terbaik.”

Sambung si ayah lagi: “Anakku, seorang perempuan solehah bukan dilihat daripada bentuk tubuh badannya yang mempesona, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menutup bentuk tubuhnya yang mempesona itu. Perempuan solehah bukanlah dilihat daripada sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi daripada keikhlasan hatinya ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat daripada apa yang sering mulutnya bicara. Perempuan solehah bukan dilihat daripada keahliannya berbahasa, tetapi daripada bagaimana ia bicara dan hujah kebenaran di sebaliknya.”

“Lalu apa lagi ayah?” Sahut puteri kecil itu, dengan perasaan ingin tahu yang tidak berbelah bagi.

“Ketahuilah puteriku, perempuan solehah itu bukan dilihat daripada keberaniannya memakai pakaian yang grand, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Perempuan solehah bukan dilihat daripada kekhuatirannya digoda orang di tepi jalanan, tetapi dilihat daripada kekhuatirannya bahawa dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia hadapi, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TuhanNya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan.”
Si puteri kecil mengangguk-angguk tanpa faham.

“Dan ingatlah wahai puteriku,” sambung si ayah lagi. “Perempuan solehah bukan dilihat daripada sifat mesranya dalam bergaul, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.”

Si anak terus bertanya, “Wahai ayahku, siapakah yang memiliki sifat-sifat tersebut? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampukah dan layakkah saya untuk berada di syurga nanti?”

Si ayah mengangguk-angguk sambil menggosok-gosok kepala puterinya. “Ya, anakku. Sesiapa sahaja boleh memilikinya. Nabi Muhammad SAW, rasul junjungan telah bersabda bahawa apabila seorang perempuan itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya (riwayat Al-Bazzar).”

(kuliah ustaz azhar idrus yang membincangkan tentang "solehah")

NILAI SEORANG PEREMPUAN SOLEHAH

Apakah nilai seorang perempuan solehah? Berapakah harganya di sisi Allah SWT? Jawab Al-Khawarizmi, pakar Matematik Islam:

Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik, tambah 0 kepada 1 = 10
Jika dia kaya, tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga baik-baik, tambah lagi 0 = 1000
Tetapi jika yang ’1′ tiada…
Maka, tiada apa yang tersisa pada wanita tersebut kecuali sekelompok ‘0’.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa nilai perempuan solehah itu terlampau berharga, sehinggakan kecantikan, kekayaan dan keturunannya tidak akan dilihat sama sekali tanpa keimanan dan kepatuhan kepada Allah SWT.

RUJUKAN:

1.  Burhan Sodiq. Engkau Memang Cantik Kerana Kamu Tidak Pernah Tahu Betapa Cantiknya Dirimu; Kemilau Publika Sdn. Bhd; 2009.


p/s: hasil "copy and paste" yang berjaya.. terlupa di mana hamba copy artikel ini. maaf kepada tuan punya artikel kerna hamba "mengcopy" artikel dari tuan. harap halal kan ilmu ini..salam ramadhan... :)...


p/s: hari ini (12 ramadhan 1432) masuklah umur hamba 23 tahun (tahun hijrah, klu tahun masihi baru umur 22 tahun).. Semoga Allah berkati baki-baki usia hamba.. Ameen.. 

Tuesday, August 9

Meski Ku Rapuh Dalam Langkah

ASSALAMUALAIKUM WBT




Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mataku
Persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu



p/s: hamba sangat suka dengar lagu ini.. :).. pertama kali dengar dari kakak. terus jatuh cinta kat lagu ini. :)

Monday, August 8

Menghadapi Ujian

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah Al-Ankabuut: 2-3)

Ujian itulah yang sering di kaitkan dengan kehidupan kita. Ada yang di uji dari seawal kanak-kanak, ada di uji di zaman remaja dan ada juga yang diuji apabila diri mula bergelar warga emas. Dunia ini penuh dengan ujian termasuklah dari anak, harta, pangkat, bencana, ilmu dan kuasa. Setiap seorang dari kita pasti di uji oleh Pemilik nyawa kita ini iaitu Allah SWT. Mana mungkin Allah menguji kita dengan sia-sia kerna pasti ada hikmah dan ganjaran untuk ujian dan dugaan yang menimpa kita. 

"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah Al-Anfaal:28)


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."" (Surah Al-Baqarah: 155-156)


Tetapi kadang-kadang semakin kita kuat diuji oleh Allah SWT, makin kita jauh dari Allah SWT. Astagfirullah..  Mengapa begitu? Bukankah hanya kepada Allah SWT tempat kita bergantung dan berharap? Allah SWT menguji untuk melihat bertapa kuat dan berimannya kita dalam menangani ujian yang menimpa kita. Apabila di uji kita perlu bersujud dan berdoa dengan penuh tawajjuh dan rendah diri untuk memohon Allah SWT memudahkan segala perkara yang dirasakan berat atau susah untuk kita. Tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah SWT. 


"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar" 
(Surah Al-Baqarah : 153)

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" 
(Surah Al-Baqarah : 45)


" Apabila seseorang mukmin di uji oleh Allah SWT dengan sesuatu bencana pada tubuhnya. Allah SWT berfirman kepada malaikat penulis amalnya: " Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan". Kemudian jika Allah SWT hilangkan bencana yang menimpanya itu. Tuhan menjadikan ia hidup dalam keadaan baharu bersih suci dari dosanya dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikan keampunan serta di kurniakan rahmat kepadanya" (Anas R.A)

Jadi nikmat mana lagi yang perlu kita dustakan? Jangan menanggap ujian itu sebagai beban buat kita sebaliknya ia adalah kasih sayang dari Allah SWT buat kita hamba Nya. Semoga kita semua di golongkan di kalangan hamba yang berlapang dada dan bersabar. Ameen.


p/s: ini adalah hasil dari kuliah yang hamba sempat ikuti pada sabtu 6 ramadhan 1432h di UiTM Segamat, Johor yang di sampaikan oleh Prof.Dr. Muhd Kamil bin Ibrahim iaitu bekas pengarah UiTM kampus Segamat. Beliau merupakan pengarah kampus semasa hamba masih menuntut di UiTM pada tahun 2007. Beliau akan berhijrah ke Madinah pada bulan september nanti. InsyaAllah. Dan sabtu lalu mungkin peluang terakhir hamba bertemu dengannya sebelum beliau berangkat ke madinah. Terdengar-dengar ucapan prof yang meminta semua tetamu supaya mendoakan beliau tidak kembali lagi ke Malaysia kecuali untuk bercuti. Terharu hamba dengan semangat prof yang membara untuk berubah dari seorang yang tidak menitik beratkan perihal agama kepada seorang pendakwah yang budiman. Semoga Allah SWT memudahkan semua perjalanan hidup prof di mana jua dan semoga Allah SWT memberikan yang terbaik dalam hidup prof. ameen. Salam mujahadah Prof! Doakan kami "anak-anak" mu di sana nanti. 

Friday, August 5

Mengapa masih berdusta?

Hari ini dah masuk hari ke-5 berpuasa. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dengan izin Allah SWT. Rasa gembira di hati kerna Allah SWT masih mengizinkan diri ini untuk berpuasa di bulan ramadhan tahun ini. Alhamdulillah... Terima kasih Allah! Love U!:)




Akibat kejadian yang menimpa saya pada 3 ramadhan lepas. Saya terpikir-pikir apa yang pernah di sampaikan oleh seorang Tok Guru kepada muridnya (murid itu adalah sahabat saya). 


"Sesungguhnya tidak akan menjeling seseorang kepada kita tanpa izin dari Allah kerna semua yang kita hadapi daripada perbuatan manusia adalah ujian buat kita dan ia nya datang dari Allah SWT. Seseorang itu tidak berhak membenci kita sekiranya Allah tidak mengizinkannya, Ingatlah sentiasa bahawa semua yang berlaku adalah datang dari Allah dan terimalah ia dengan redha dan sabar. Semoga dengannya kita beriman kepada Allah."


Terkelu saya apabila mendengar ucapan itu dari mulut sahabat saya. Benar katanya, kita kadang-kadang lupa bahawa baik dan buruk sesuatu datangnya dari Allah SWT. Seseorang senyum kepada kita hanya berlaku dengan izin Allah, begitu juga dengan jelingan mereka. Ia tidak berlaku jika Allah SWT tidak benarkan. Jadi mengapa kita masih dustakan ia? Bukankah seluruh kehidupan manusia berada dalam perancangan Allah SWT? Bukankah ini juga salah satu dari perancangan Allah SWT terhadap kita? Mengapa kita masih leka dan menyalahkan sesama sendiri? Kenali diri dan terima dengan redha kerna semoga dengannya kita di angkat menjadi orang beriman di sisi Nya. 


Allah SWT menguji kita bertujuan untuk menguji penerimaan kita terhadap perkara-perkara ini. Ia tidak ditakdirkan sia-sia. Allah SWT ingin menguji adakah kita ini seorang yang berlapang dada ataupun seorang yang pendendam orangnya. Andai kita lulus ujian ini maka kita di kalangan orang berjaya, jika sebaliknya alangkah ruginya kita kerna itu adalah ujian dan salah satu cara Allah SWT untuk menaikkan darjat kita. 


Wallahualam...






p/s: semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi hamba yang sabar dan redha atas ketetapan-Nya. Semoga kita menjadi orang yang beriman dan beramal soleh. ameen..


p/s 2: selamat berpuasa dan selamat meningkatkan amal... selamat berbuka juga.. :)...





Tuesday, August 2

Ramadhan Tanpa Ayah Di Sisi

ASSALAMUALAIKUM WBT

indahnya puasa...


Bulan ramadhan telah masuk hari ke tiga hari ini. Syukur Alhamdulillah saya masih mampu untuk berpuasa dengan izin Allah Yang Maha Esa. Semoga ramadhan kali ini saya dan seluruh umat islam dapat memanfaatkan dengan baik. insyaAllah.


Seperti setiap tahunnya sejak sebelas tahun lalu, saya berpuasa tanpa ayah di sisi. Mungkin saya sudah biasa dengan keadaan itu memandangkan ayah telah lama pergi meninggalkan saya. Namun seperti biasa, kenangan berpuasa bersama-sama ayah akan muncul di ingatan saya dan kesedihan akan segera menyapa. Sedih rasa hati ini namun diri telah terima pemergiaan ayah bertahun dahulu. Allah lebih sayangkan ayah kerna itu Allah menjemput ayah kembali kepadaNya. 


Puasa kami sekeluarga berbeza sekali dengan puasa bersama ayah dahulu. Mungkin kerna dulu kami masih kanak-kanak dan ayah akan meminta ibu menyediakan masakan yang "best-best" untuk kami berbuka memandangkan puasa di zaman kanak-kanak agak mujahadah sedikit. Ayah juga akan membeli pelbagai makanan dan juadah tambahan di bazaar ramadhan. MasyaAllah.. Rindunya zaman itu...


Tahun pertama puasa tanpa ayah di sisi agak menyayatkan hati. Tangisan menyambut hari pertama berpuasa. Sungguh sayu berbuka hanya di temani ibu, abang, kakak dan adik tanpa ayah di sisi. Mungkin ramai tetapi berbeza kerna tiada lagi ayah untuk memarahi kami lantaran kami adik-beradik memang suka berebut makanan. 


Semasa ayah masih ada dahulu, sahur kami agak meriah kerna ayah meminta ibu menyediakan pelbagai juadah kerna ingin memujuk kami supaya bangun untuk bersahur. Kami adik-beradik agak liat ingin bangun untuk bersahur tetapi apabila telah dileter dan kemudian di pujuk oleh ayah dan ibu akhirnya semua mengalah dan bersahur bersama-sama. 


Seronok apabila mengenang kembali semasa dapat menyambut ramadhan bersama ayah. Tetapi sekarang pun seronok juga kerna ibu adalah kebahagiaan kami. Melihat ibu bersusah payah menyediakan macam-macam juadah untuk kami menyebabkan kami lebih menghargai saat ketika ibu bersama. Ia lebih dihargai dan tidak di bazir sia-sia. Penat lelah ibu menyediakan makanan terubat kerna anak-anaknya memang suka makan. heheh...


Bertahun berlalu sejak ayah pergi, ramadhan bersilih pergi. Ramadhan tahun berikut di meriahkan dengan kehadiran anak-anak buah yang memecahkan kesunyian kami tatkala ingin berbuka. Sungguh riuh rumah saya apabila anak-anak buah datang berbuka bersama. Dan anak-anak buah juga berperangai seperti kami (suka berebut makanan).. heheh. 


Seperti setiap tahunnya ramadhan akan di habiskan dengan melayan kerenah anak-anak buah semasa berbuka puasa. Ibu orang yang paling sibuk kerna semua cucu-cucunya minta di layan olehnya. Seronok melihat gelagat mereka berbuka dengan gembira. Ibu lah insan yang paling gembira kerna  mungkin ibu sunyi apabila tiada lagi riuh tawa kami semasa berbuka lantaran anak-anaknya sudah semakin dewasa. Tetapi tidak mengapa wahai ibuku, gelak tawa kami telah digantikan dengan gelak tawa dari cucu-cucumu. 


Tahun berganti tahun dan kami akan menjalani puasa tanpa ayah. Tetapi itu adalah ketentuan Illahi dan kami redha atasnya. Dan Allah telah gantikan kasih sayang ayah dengan "permata-permata" yang menyinari hidup kami iaitu anak-anak buah saya. 


Saya doakan ayah sejahtera dan aman di sana. Terima kasih ayah atas semua curahan kasih sayang yang tidak ternilai kepada saya dan adik-beradik. Ayah.... saya sayang ayah! Ibu... saya sayang ibu. Terima kasih untuk semua jasa yang dicurahkan kepada anakmu ini. 


p/s 1: berpuasa dengan anak-anak buah saya yang mempunyai pelbagai ragam amat menyeronokkan. Melihat gelagat mereka menyebabkan diri ini berfikir bahawa saya dan adik-beradik semasa kecil juga begitu.  


p/s 2: selamat berbuka puasa kepada muslimin dan muslimat di mana jua anda berada. selamat menjalani ibadah puasa dengan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. InsyaAllah...


p/s 3: Terima kasih kepada Allah SWT kerna menghadiahkan kepada keluarga saya kasih sayang yang banyak. Terima kasih kerna menemukan saya dan keluarga di dunia Wahai Tuhanku. LOVE ALLAH! THANK YOU ALLAH! :)