ASSALAMUALAIKUM WBT
Bagaimanakah untuk menangani dan mengelakkan sifat kemarahan dalam individu itu?
Sifat marah ini kadang-kadang sebati dalam kehidupan seseorang dan sukar di tangani dengan baik. Kadang-kadang mungkin ada beberapa perkara yang berlaku menimbulkan kemarahan kita hingga kita juga kadang-kadang menghemburkan tanpa mempedulikan perasaan dan kepentingan orang lain.
Sesungguhnya zahirkanlah sifat kemarahan ini di tempat yang sebaiknya contohnya semasa berjuang fi sabilillah kerna semata-mata utuk meraih keredhaan daripada Allah SWT.
Muaz Bin Anas Al-Juhani meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
" Sesiapa yang mampu menahan marah sedangkan dia berkuasa untuk melaksanakannya, Allah SWT akan memanggilnya pada hari kiamat kelak di hadapan khalayak ramai serta menyuruhnya memilih bidadari mana yang dikehendakinya" (Riwayat Ahmad)
Apa yang penting apabila menghadapi situasi kemarahan ini, amatlah memerlukan sifat kesabaran yang banyak, sedia memaafkan, bertenang, berlapang dada dan lemah lembut. InsyaAllah.. Mungkin mudah bagi kita untuk menuturkannya namun sukar untuk dipraktikkan. Namun sekurang-kurangnya kita perlu berusaha ke arah itu. Dan jika tidak mampu, berdoalah supaya Allah SWT melembutkan hati kita.
Kita janganlah berdendam kepada orang yang menimbulkan kemarahan kita itu sebaliknya kita mendoakan supaya Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada mereka.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." (Surah Al-Taubah 9: 128)
Peristiwa di mana Rasulullah SAW di sakiti dan dihina di Taif ketika Rasulullah SAW menyeru kaum Thaqif tetapi mereka tidak menyahut seruan Baginda. Pada hari itu, Baginda sangat sedih dan kecewa, lalu membawa diri hingga tiba di Qarn Al-Tha'alib (Mina). Baginda mendonggakkan wajahnya ke langit untuk melihat awam yang datang memayunginya secara tiba-tiba.
Didalamnya Rasulullah SAW melihat Jibrail AS memanggilnya sambil berkata :" Allah SWT mendengar dan mengetahui apa yang telah kamu lalui dan telah menghantar malaikat penjaga gunung untuk kamu pinta apa-apa sahaja yang kamu kehendaki terhadap kamu"
Lalu malaikat penjaga gunung berseru kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Wahai Muhammad, perintahlah apa sahaja jika kamu mahu, aku akan jatuhkan al-akhsyabain ( dua buah bukit yang besar di Makkah iaitu Bukit Abi Qubais dan Bukit Qaiqie'an) ke atas mereka."
Rasulullah SAW menjawab:" Jangan, tetapi aku memohon kepada Allah SWT agar akan daripada kalangan anak cucu mereka nanti yang beriman dan hanya menyembah Allah SWT sahaja." (Riwayat Al-Bukhari)
Semoga kita dapat meneladani sifat Rasulullah SAW yang mulia ini.
Hati adalah utama dalam memelihara sifat marah ini, maka belajarlah untuk melatih hati agar banyak memaafkan, bertolak ansur dalam beberapa perkara, tidak mengikut hawa nafsu dan penuhi hati dengan kasih sayang. InsyaAllah.
Jika kita mampu untuk menyayangi seluruh makhluk, mengapa kita perlu sempitkan hati kita dengan perasaan marah dan dendam yang hanya mengotorkan hati?
Daripada Abu Hurairah RA:Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud:
" Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada rupa dan harta kamu tetapi memandang kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Jadi janganlah kita mengotorkan hati kita dengan perkara sia-sia yang di dalamnya tiada nilai pada penilaian Allah SWT. Buanglah sifat marah dan dendam ini supaya hati kita lebih suci dan bersih.
Apabila perasaan marah dan dendam itu muncul, ingatlah kebaikan orang itu kepada kita walaupun sedikit supaya dengan nya perasaan negatif itu terhapus dari hati kita. Dan insyaAllah hati kita akan tenang dan redha atas apa yang berlaku.
p/s: sejak akhir-akhir ini, hamba sering di uji dengan perkara-perkara yang menimbulkan sifat marah ini di hati. Oleh kerna ingin memadamkan semua itu, perbagai perkara di lakukan dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Tangisan yang di zahirkan umpama pemadam api kemarahan yang kuat meraja di dalam jiwa. Hingga berteleku hamba di tikar sejadah memohon supaya perasaan negatif ini hilang di dalam jiwa. Akhirnya semua kemarahan itu terpadam dan hati kembali tenang seperti sedia kala. Alhamdulillah. Semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kesabaran kepada hamba yang lemah ini kerna membendung sifat marah ini amat sukar buat hamba.ameen..
No comments:
Post a Comment